Sendal Otak

Hari-hari Yang Indah dan Senyum Di Hati

Posted in Uncategorized by Gunong on 6 Februari 2010

Hari ini pagi-pagi yang tidak sepagi mana, aku ke bandar untuk mencari beberapa barang keperluan pertukangan. Sekitar jam 9 pagi Sabtu, keadaan tidak sesibuk hari-hari biasa. Pejabat kerajaan tutup. Pejabat swasta juga ada yang tutup. Tetapi tidak bagi manusia seperti aku yang harus memburuh untuk hidup. Perlu ada-ada sahaja harus aku usahakan.

“Adik, selamat pagi. Mahu apa ini hari? Lama tak nampak pergi mana?” isteri tauke hardware itu menyapa sebelum sempat aku menyapanya.

“Wah, cho san. Ada kak. Sibuk sikit. Akak apa khabar?’ tanya aku sambil tersenyum.

“Baik..baik. Mau angkat apa ni?” beliau bertanya lagi. Juga tersenyum.

“Mahu beli la. Bukan angkat-angkat saja. Paku 2 1/2 inchi sama tukul.” kata aku dengan jelas.

Isteri tauke hardware yang selalu aku panggil ‘akak’ itu ketawa. Beliau selalu begitu. Suaminya yang aku panggil ‘abang’ itu juga begitu. Suka benar bergurau. Maka aku juga berani bergurau dengan perempuan cina pertengahan 40an yang cantik manis itu.

“Mail, tolong angkat paku 2 1/2 inchi satu kilo. Tukul ada sana, adik boleh pilih sendiri la. Beli ‘baik’ punya la.” Isteri tauke itu menunjuk ke suatu sudut. Aku pun memang sudah tahu dan biasa dengan keadaan kedainya itu.

“Itu tukul semua ‘baik’ la akak. Mana ada ‘jahat’. Orang saja banyak jahat sekarang.” kataku sambil mengambil sebatang tukul yang sederhana sahaja kualitinya. Sekali lagi beliau tertawa walaupun sudah dua kali terkena olehku pagi-pagi lagi.

Cukup apa yang aku mahu. Semuanya hanya RM14. Harga yang berpatutan berbanding kedai-kedai lain yang agak kurang seronok untuk aku kunjungi.

“Cukup ke ini paku 1 kilo? Mahu buat apa?” Isteri tauke hardware itu bertanya ketika memulangkan baki duitku.

“Cukuplah, kak. Mahu pasang siling sikit saja tu.” lurus aku memberi tahu apa yang mahu aku lakukan dengan barang-barang tersebut.

“O, ye ke. Akak ingat mahu makan. Kalau makan tak boleh habis tu. Lama boleh tahan tu.” kata akak isteri tauke hardware itu dengan wajah selamba.

Ketawaku meledak tiba-tiba mendengar gurauan yang agak kasar bunyinya itu. Sepanjang jalan aku menuju kereta aku tersenyum mengenangnya. Aku sayang Malaysia. Aku suka dengan kehidupanku di kampung dan bandar kecilku ini.

Advertisements
Tagged with: , ,