Sendal Otak

Jason Becker Si Wali Suci Dunia Gitar dan Luka-luka Diam Seorang Penyair

Posted in Uncategorized by Gunong on 3 Februari 2010

Jason Becker, di zaman gemilangnya.

Aku mula berfikir yang bukan-bukan dua tiga hari ini. Mungkin kepala aku banyak sangat disumbat lagu-lagu Jason Becker. Tapi bunyi-bunyian yang dihasilkan oleh otak kiri dan jari jemari Jason Becker cukup mengesankan. Sangat sedih dan sengsara seperti gitarnya sedang menjerit-jerit, atau merayu-rayu kepada Tuhan tanpa letih. Bagai mahu melawan kemaraan takdir namun mengalah juga di hujung nadanya.

Penyakit dan kecewa adalah musuh utama manusia seni. Memang waktu adalah pembina dan pemusnah yang amat tajam sekali mata kejamnya. Maka kerana itu seniman harus mati muda. Bukan hidup lama tapi dihurung derita penyakit berjela-jela. Khalil Gibran, Chairil Anwar, Bob Marley, Steve Ray Vaughan, Steve Clerk, Thomas Bolin, Leslie Cheung, Bruce Lee, P. Ramlee semua mati muda. Ramai manusia yang menjadi lagenda mati muda.

Jason Becker adalah antara lagenda yang masih hidup, tapi tubuhnya bagai mati sebelum mati. Walaupun nama beliau agak tenggelam berbanding nama-nama seperti Yngwie J Malmsteen, Steve Vai, Joe Satriani, Paul Gilbert dan lain-lain gergasi di dalam dunia shredder, tetapi jika mana-mana gitaris belum kenal ini nama – mereka bukanlah shredder.

Tapi hari ini Jason Becker masih dihurung penyakit ALS. Tidak mampu lagi menggerakkan walau sebatang jari. Sehingga kini beliau masih hidup namun jasadnya seperti mayat sahaja adanya. Ribuan malah mungkin jutaan peminatnya sangat bersedih. Apakah daya. Kesedihan dan beratnya tanggungan ini, hanya Tuhan dan Jason Becker sahaja yang tahu.

Ya. Entah mengapa beberapa hari ini aku sangat senang dengan bunyi-bunyian yang Jason Becker hasilkan terutama Altitude, Serana dan Air. Aku sukakan muzik Jason Becker sama seperti aku sukakan JS Bach. Muzik dari hati. Kalau Jason Becker masih sihat aku tidak tahu apakah beliau masih mampu hasilkan karya seperti itu dengan jarinya? Malah aku memohon kepada Tuhan agar beliau kembali sihat dan mampu memetik gitar kembali. Tapi itu semua aku pulangkan kembali kepada Tuhan.

Memikirkan Jason Becker, Jason Becker dan Jason Becker – aku sepertinya harus sahaja berhenti menulis puisi. Dan segera mati selepas setiap kali menulisnya. Mati sebagai penyair, atau mantan penyair. Namun Jason Becker yang masih meniti mata pisau Tuhan masih terus berkarya walau hanya dengan menggunakan dua butir ulas matanya itu dengan teknologi komputervyang dibangunkan bapanya. Mata pisau itu berkilau menjeling leher kami.

Peace, bro!

Tagged with: , , , ,