Sendal Otak

Writing a Script Gives You a Wonderful Opportunity to Play God

Posted in Uncategorized by Gunong on 8 Februari 2010

Tadi pagi bangun subuh-subuh badan macam remuk. Tulang dan sendi-sendi terasa seperti bercerai berai. Aku sangat penat barangkali. Minggu ini rehat memang tak sempat. Menghirup udara pun bagai ikan ketakutan curi-curi nafas. Di dahan tepi kolam kehidupan bagai ada burung hantu tunggu masa mahu menyambar!

Entah apa mimpi semalam sahaja aku dapat habiskan 8 muka surat single spacing sebuah skrip. Aku macam tak mahu berhenti-henti menulisnya. Sudah lama aku idamkan mahu tulis skrip. Tapi aku tak tahu bagaimana mahu mula. Sama macam aku mula-mula mahu tulis cerpen dan sajak dahulu.

 Dengan tubuh yang lunyai semalam aku taip, taip dan taip. Setiap watak aku bangunkan dan warnakan sesuka hati. Setiap peristiwa juga aku susun mengikut kemahuan. Terasa ingin ketawa berdekah-dekah. Tetapi badan yang penat akhir mematikan hasrat. Aku mengalah.

Tiba-tiba usai solat subuh tadi pagi aku tertanya-tanya: untuk apa aku buat semua ini? Apa yang aku cari? Sebelum pergi kerja; aku kembali sambung menaip dengan rasa yang lebih aman.

Tagged with: , ,

Hari-hari Yang Indah dan Senyum Di Hati

Posted in Uncategorized by Gunong on 6 Februari 2010

Hari ini pagi-pagi yang tidak sepagi mana, aku ke bandar untuk mencari beberapa barang keperluan pertukangan. Sekitar jam 9 pagi Sabtu, keadaan tidak sesibuk hari-hari biasa. Pejabat kerajaan tutup. Pejabat swasta juga ada yang tutup. Tetapi tidak bagi manusia seperti aku yang harus memburuh untuk hidup. Perlu ada-ada sahaja harus aku usahakan.

“Adik, selamat pagi. Mahu apa ini hari? Lama tak nampak pergi mana?” isteri tauke hardware itu menyapa sebelum sempat aku menyapanya.

“Wah, cho san. Ada kak. Sibuk sikit. Akak apa khabar?’ tanya aku sambil tersenyum.

“Baik..baik. Mau angkat apa ni?” beliau bertanya lagi. Juga tersenyum.

“Mahu beli la. Bukan angkat-angkat saja. Paku 2 1/2 inchi sama tukul.” kata aku dengan jelas.

Isteri tauke hardware yang selalu aku panggil ‘akak’ itu ketawa. Beliau selalu begitu. Suaminya yang aku panggil ‘abang’ itu juga begitu. Suka benar bergurau. Maka aku juga berani bergurau dengan perempuan cina pertengahan 40an yang cantik manis itu.

“Mail, tolong angkat paku 2 1/2 inchi satu kilo. Tukul ada sana, adik boleh pilih sendiri la. Beli ‘baik’ punya la.” Isteri tauke itu menunjuk ke suatu sudut. Aku pun memang sudah tahu dan biasa dengan keadaan kedainya itu.

“Itu tukul semua ‘baik’ la akak. Mana ada ‘jahat’. Orang saja banyak jahat sekarang.” kataku sambil mengambil sebatang tukul yang sederhana sahaja kualitinya. Sekali lagi beliau tertawa walaupun sudah dua kali terkena olehku pagi-pagi lagi.

Cukup apa yang aku mahu. Semuanya hanya RM14. Harga yang berpatutan berbanding kedai-kedai lain yang agak kurang seronok untuk aku kunjungi.

“Cukup ke ini paku 1 kilo? Mahu buat apa?” Isteri tauke hardware itu bertanya ketika memulangkan baki duitku.

“Cukuplah, kak. Mahu pasang siling sikit saja tu.” lurus aku memberi tahu apa yang mahu aku lakukan dengan barang-barang tersebut.

“O, ye ke. Akak ingat mahu makan. Kalau makan tak boleh habis tu. Lama boleh tahan tu.” kata akak isteri tauke hardware itu dengan wajah selamba.

Ketawaku meledak tiba-tiba mendengar gurauan yang agak kasar bunyinya itu. Sepanjang jalan aku menuju kereta aku tersenyum mengenangnya. Aku sayang Malaysia. Aku suka dengan kehidupanku di kampung dan bandar kecilku ini.

Tagged with: , ,

Benarkah Anwar Ibrahim Seorang Peliwat?

Posted in Uncategorized by Gunong on 4 Februari 2010

Ketika aku menonton berita di TV semalam, aku terima SMS dari seorang kawan perempuan. Beliau bertanya: benarkah Anwar telah meliwat Saiful? Aku langsung tidak terperanjat dengan soalan itu. Barangkali bukan beliau seorang sahaja yang tertanya-tanya.

Untuk soalan itu aku hanya jawab: tidak tahu. Beliau masih meminta kepastian. Sungguh aku tidak tahu. Hanya itu jawaban yang aku berani katakan. Aku pastinya bukanlah tahu semua. Aku hanya blogger. Dan penulis kecil-kecilan sepertiku bukan nabi yang menerima wahyu secara terus dari Tuhan.

Sukar untuk tidak mengenali Anwar. Beliau ialah sosok ikon yang sering mendepani ketidakpuasan hati marhaen. Penuh kontroversi sejak awal kemunculannya. Tidak perlulah aku ulas segalanya tentang beliau. Sama seperti tidak perlunya aku mengulas siapa Sifu itul. Semua serba mudah bagi yang mahu mencari.

Tetapi berbalik kepada persoalan kawanku itu: benarkah Anwar meliwat Saiful, hanya Tuhan juga yang lebih tahu. Aku tidak berani menuduh. Tidak berani. Kerana perang ini bukan lagi antara Anwar dan Saiful. Anwar ikon besar. Pemilihan Saiful rakyat kecil sebagai mangsa menyukarkan Anwar juga. Dan ini bukan kali pertama beliau berdepan dengan tuduhan sebegini. Ini hanya ulangan sejarah 1998 sahaja.

Tetapi sekarang Anwar bukan berdepan dengan Saiful seorang diri, tetapi sekelompok musuh politiknya yang bergerak dari semua arah, di dalam baju zirah kebal selesa bernama undang-undang dan berpedang akta. Ini adalah perang politik. Dan undang-undang menjadi mangsa yang diperkudakan. Rakyat terpinga-pinga dan kebodohan.

Ada mungkin seribu mungkin. Dan kita; aku, kau dan kawan perempuanku itu tadi, yang jauh dari pengetahuan, sekadar diberi pemandangan yang terbatas adalah biasa jadi tertanya-tanya.

Benarkah Anwar meliwat Saiful?

Kalau pun ada jawabannya, biarlah orang lain yang menjawabnya. Setiap perang ada penamatnya. Kita tunggu lihat sahaja nanti. Hingga saat ini aku masih sekadar mahu memerhati sahaja.

Tagged with: , ,

Jason Becker Si Wali Suci Dunia Gitar dan Luka-luka Diam Seorang Penyair

Posted in Uncategorized by Gunong on 3 Februari 2010

Jason Becker, di zaman gemilangnya.

Aku mula berfikir yang bukan-bukan dua tiga hari ini. Mungkin kepala aku banyak sangat disumbat lagu-lagu Jason Becker. Tapi bunyi-bunyian yang dihasilkan oleh otak kiri dan jari jemari Jason Becker cukup mengesankan. Sangat sedih dan sengsara seperti gitarnya sedang menjerit-jerit, atau merayu-rayu kepada Tuhan tanpa letih. Bagai mahu melawan kemaraan takdir namun mengalah juga di hujung nadanya.

Penyakit dan kecewa adalah musuh utama manusia seni. Memang waktu adalah pembina dan pemusnah yang amat tajam sekali mata kejamnya. Maka kerana itu seniman harus mati muda. Bukan hidup lama tapi dihurung derita penyakit berjela-jela. Khalil Gibran, Chairil Anwar, Bob Marley, Steve Ray Vaughan, Steve Clerk, Thomas Bolin, Leslie Cheung, Bruce Lee, P. Ramlee semua mati muda. Ramai manusia yang menjadi lagenda mati muda.

Jason Becker adalah antara lagenda yang masih hidup, tapi tubuhnya bagai mati sebelum mati. Walaupun nama beliau agak tenggelam berbanding nama-nama seperti Yngwie J Malmsteen, Steve Vai, Joe Satriani, Paul Gilbert dan lain-lain gergasi di dalam dunia shredder, tetapi jika mana-mana gitaris belum kenal ini nama – mereka bukanlah shredder.

Tapi hari ini Jason Becker masih dihurung penyakit ALS. Tidak mampu lagi menggerakkan walau sebatang jari. Sehingga kini beliau masih hidup namun jasadnya seperti mayat sahaja adanya. Ribuan malah mungkin jutaan peminatnya sangat bersedih. Apakah daya. Kesedihan dan beratnya tanggungan ini, hanya Tuhan dan Jason Becker sahaja yang tahu.

Ya. Entah mengapa beberapa hari ini aku sangat senang dengan bunyi-bunyian yang Jason Becker hasilkan terutama Altitude, Serana dan Air. Aku sukakan muzik Jason Becker sama seperti aku sukakan JS Bach. Muzik dari hati. Kalau Jason Becker masih sihat aku tidak tahu apakah beliau masih mampu hasilkan karya seperti itu dengan jarinya? Malah aku memohon kepada Tuhan agar beliau kembali sihat dan mampu memetik gitar kembali. Tapi itu semua aku pulangkan kembali kepada Tuhan.

Memikirkan Jason Becker, Jason Becker dan Jason Becker – aku sepertinya harus sahaja berhenti menulis puisi. Dan segera mati selepas setiap kali menulisnya. Mati sebagai penyair, atau mantan penyair. Namun Jason Becker yang masih meniti mata pisau Tuhan masih terus berkarya walau hanya dengan menggunakan dua butir ulas matanya itu dengan teknologi komputervyang dibangunkan bapanya. Mata pisau itu berkilau menjeling leher kami.

Peace, bro!

Tagged with: , , , ,

Tak ada apa-apa..

Posted in Uncategorized by Gunong on 17 November 2008

Kosong itu tak ada apa-apa.

 

 

Tapi kalau tambah satu lagi kosong di belakang angka gajiku, alangkah bahagianya….

Jangan Lupa Raya Ke-2!!!

Posted in Uncategorized by Gunong on 27 September 2008

Sewaktu gua ambil bonus.

“Hah, hari raya ke dua kerja balik tau. Emergency. Saya bayar triple.”

What? WTF! S**T!!! *@#GBJU**N!!!! Tak nak saya!!!”

“WOIT!!! Siapa Boss ni!!!”

“Errr..Boss la boss!!”

Selamat Menyambut Hari Raya Idulfitri

Posted in Uncategorized by Gunong on 27 September 2008

Di suatu petang yang damai…

“Pak, selamat hari raya. Nah rasa karipap pusing ni. Sedap taw!”

PANG!!!!!

“Kepala hotak kau. Lagi dua hari nak raya tau tak. Kau tak puasa ke..!!???”

Tagged with: